top of page

Terlalu banyak minum air boleh bebankan fungsi buah pinggang

  • Writer: support56423
    support56423
  • Jul 19
  • 2 min read
ree

Air penting dalam kehidupan dan semua sel dalam tubuh memerlukan air untuk berfungsi dengan baik.


Selain membawa nutrien ke sel, air turut berfungsi membuang toksid dari organ dalam badan serta membantu penghadaman makanan.


Namun, jika anda minum air secara berlebihan, anda boleh mengalami hidrasi berlebihan iaitu satu keadaan yang boleh menjadi serius.


"Secara umumnya, tubuh manusia berfungsi dengan baik apabila berada dalam keadaan seimbang, dan ini turut merangkumi pengambilan air," kata saintis pemakanan di Abbott yang pakar dalam bidang hidrasi, Jennifer Williams yang dipetik dari nutritionnews.abbott.


Menurutnya lagi, bagi mengelakkan keracunan air (ketoksikan air), penting untuk minum apabila berasa dahaga dan peka terhadap isyarat yang diberikan oleh tubuh agar kekal terhidrat tanpa mengambil air secara berlebihan.


Jumlah air perlu diminum


Bagaimanapun, tiada satu formula khusus untuk menentukan jumlah air yang perlu diminum setiap hari.


Secara umum jika individu minum apabila berasa dahaga dan warna air kencing kekuningan cerah, kemungkinan besar sudah mendapat jumlah cecair yang mencukupi.


Individu juga boleh mengikuti saranan umum iaitu minum lapan gelas air sehari, dan laraskan jumlah itu mengikut keadaan seperti persekitaran, aktiviti fizikal, tahap kesihatan, serta keadaan khas seperti kehamilan atau penyusuan.


Dalam pada itu, menurut kajian yang dijalankan oleh National Academies of Sciences, Engineering, and Medicine di Amerika Syarikat, jumlah pengambilan air yang sewajarnya kira-kira 15 cawan (3.7 liter) untuk lelaki manakala kira-kira 11 cawan (2.7 liter) untuk wanita.


Saranan itu bukan hanya untuk air kosong. Ini kerana jika individu minum air kosong dengan jumlah yang disarankan bersama minuman lain, sudah tentu kuantiti akan menjadi berlebihan, justeru ia tidak disarankan.


Menurut pakar perubatan, pengambilan air berlebihan atau terlalu banyak boleh menyebabkan hyponatremia.


Hyponatremia menyebabkan bahagian dalam sel dipenuhi air kerana paras natrium yang rendah dalam aliran darah.


Apabila ini berlaku, ia boleh memberi implikasi buruk kepada kesihatan.


Sementara itu, memetik laman web University Hospitals, minum air dalam jumlah yang terlalu banyak boleh membebankan fungsi buah pinggang dan mengurangkan kepekatan natrium dalam darah.


"Keadaan ini dikenali sebagai keracunan air atau hyponatremia. Apabila ini berlaku, air akan memasuki sel-sel badan, termasuk sel otak dan menyebabkan pembengkakan," katanya.


Hyponatremia boleh menyebabkan pelbagai simptom, antaranya sakit kepala, loya atau muntah, keletihan, keliru dan kekejangan atau kelemahan otot.


Dalam kes yang serius, ia boleh menyebabkan sawan, kehilangan kesedaran, atau kematian, walaupun keadaan ini jarang berlaku.


Bagaimanapun, pakar berpendapat diagnosis hyponatremia memerlukan penilaian menyeluruh termasuk semakan sejarah perubatan pesakit, pemeriksaan fizikal, serta ujian darah dan air kencing untuk menentukan punca asasnya.


INFO:

Perkara yang individu harus tahu mengenai minum air

  • Minum terlalu banyak air tidak menyebabkan berat badan naik. Ini kerana air tidak mengandungi kalori, namun pembengkakan kaki dan tubuh akibat pengekalan air boleh memberi ilusi berat badan meningkat.

  • Susu ibu atau formula cukup untuk keperluan cecair bayi bawah enam bulan. Jika diberi air, maksimum hanya 2 hingga 3 auns setiap kali.

  • Antara tanda bayi terlebih air ialah mudah meragam, suhu badan rendah, muka bengkak sawan dan air kencing sangat jernih.

  • Minum 4 liter air sehari tidak semestinya terlalu banyak. Hal ini bergantung kepada keperluan individu. Jika individu itu aktif atau tinggal di kawasan panas, 4 liter mungkin diperlukan.

  • Warna air kencing adalah petunjuk yang baik untuk memantau sama ada pengambilan air mencukupi atau individu itu perlu minum lebih banyak air.

Commentaires


bottom of page