Portal Rasmi Kerajaan Malaysia

Jata Negara Malaysia
Blog
PROGRAM SUMBANGAN ASAS RAHMAH (SARA) DAN INISIATIF KESEJAHTERAAN RAKYAT
bantuan
PROGRAM SUMBANGAN ASAS RAHMAH (SARA) DAN INISIATIF KESEJAHTERAAN RAKYAT
Bacaan 2 minit
18 August 2025, 9:25 AM
Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat

Pada 23 Julai 2025, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengumumkan pelaksanaan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebagai salah satu langkah kerajaan untuk meringankan beban kewangan rakyat. Melalui program ini, setiap warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan menerima bantuan sebanyak RM100 secara one-off melalui MyKad, bersempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 2025. Bantuan ini yang pada asalnya hanya disalurkan kepada isi rumah miskin dan miskin tegar dalam rekod eKasih, kini diperluaskan kepada seluruh rakyat tanpa mengira tahap pendapatan. Bantuan tersebut boleh digunakan bermula 31 Ogos hingga 31 Disember 2025 bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya di seluruh negara. Menariknya, bantuan ini diberikan secara individu, bukan mengikut isi rumah. Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada suami, isteri, dan dua orang anak dewasa akan menerima jumlah keseluruhan RM400. Langkah ini dijangka memanfaatkan seramai 22 juta rakyat Malaysia dengan peruntukan sebanyak RM2 bilion. Selain itu, kerajaan turut meningkatkan peruntukan bagi program Jualan Rahmah MADANI 2025 daripada RM300 juta kepada RM600 juta. Peningkatan ini membolehkan kekerapan program ditambah, liputan diperluas ke semua 600 Dewan Undangan Negeri (DUN), dan variasi barangan diperbanyakkan demi memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat. Bersempena sambutan Hari Malaysia pada tahun ini, kerajaan turut mengisytiharkan 15 September sebagai hari kelepasan am tambahan. Inisiatif ini bertujuan mengukuhkan semangat perpaduan, menghargai keistimewaan pembentukan Malaysia, serta memberi peluang kepada rakyat untuk meluangkan masa bersama keluarga atau bercuti di dalam negara. Dalam aspek kos sara hidup, kerajaan juga bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol, dengan menanggung kos lebih RM500 juta agar rakyat dapat terus menikmati kadar bayaran tol sedia ada. Selain itu, harga petrol RON95 dijangka diturunkan kepada RM1.99 seliter selepas pelaksanaan penyasaran subsidi bahan bakar, yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 18 juta pengguna, termasuk golongan belia dan pekerja ekonomi gig. Kerajaan juga komited memastikan subsidi disasarkan kepada golongan yang benar-benar layak, sekali gus mengurangkan ketirisan. Hasilnya, 85 peratus pengguna domestik menikmati penurunan bil elektrik pada bulan Julai 2025 berbanding separuh pertama tahun tersebut, dengan penjimatan sehingga 14 peratus bagi penggunaan yang sama. Secara keseluruhannya, pengumuman ini mencerminkan keprihatinan kerajaan MADANI dalam menangani isu kos sara hidup, meningkatkan kesejahteraan rakyat, serta memperkukuh perpaduan nasional melalui pelbagai inisiatif yang bersifat menyeluruh dan inklusif.